PENGENALAN
Menurut Abdul Aziz Abdul Talib (1993), proses penilaian formal tentang sesuatu kemahiran bahasa biasanya bermula dengan guru membentuk sesuatu alat ujian, menjalannkan pengujian, memeriksa, dan memberikan markah maklum balas murid dengan tujuan untuk membuat pengukuran tentang kemahiran tersebut, dan mentafsir atau memberi nilai pada pencapaian murid. Dalam proses ini, setiap istilah, iaitu ujian, pengujian, pengukuran dan penilaian merupakan langkah yang berasingan dan membawa maksud yang berlainan, walaupun mempunyai perkaitan antara satu sama lain dalam proses pengajaran dan pembelajaran bahasa. Oleh sebab itu, bagi mewujudkan proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan dan menguji keberkesanan hasil pengajaran dan pembelajaran tersebut, guru bahasa Melayu hendaklah memahami dengan jelas istilah tersebut dan mengetahui cara mengaplikasikan proses-proses di atas dengan berkesan.
PENILAIAN
Apakah itu penilaian pendidikan? Menurut Stufflebeam (1971), penilaian adalah proses mengenalpasti, memperoleh dan menyediakan maklumat berguna bagi keputusan mempertimbangkan pilihan-pilihan yang ada pada kita. Penilaian menentukan jurang perbezaan antara “apa yang dihasilkan” dengan “apa yang dihasratkan” dari sesuatu program pendidikan. Penilaian merupakan pertimbangan profesional iaitu proses yang membolehkan seseorang membuat keputusan.
Meskipun banyak definisi penilaian pendidikan dikemukakan oleh pakar-pakar seperti Stufflebeam (1971), Thorndike dan Hagen (1977) dan Kubiszyn dan Borich (1996), pada asasnya penilaian merupakan suatu proses membuat keputusan yang sistematik melibatkan pengenalpastian, pemerolehan dan pentafsiran maklumat yang berguna bagi pertimbangan pilihan-pilihan keputusan berasaskan kepada sesuatu objektif pendidikan. Dari segi pengajaran dan pembelajaran di universiti, penilaian boleh didefinisikan secara ringkas sebagai satu proses sistematik untuk menentukan sejauh mana objektif pengajaran dan pembelajaran di dewan kuliah dan makmal dicapai.
Definisi penilaian ini membawa maksud objektif pengajaran perlu dikenal pasti terlebih dahulu sebelum penentuan pencapaian objektif tersebut dibuat berasaskan pertimbangan terhadap bukti empirikal. Bukti empirikal pencapaian biasanya diperoleh secara pengukuran terhadap penguasaan pelajar dengan menggunakan alat ukur yang dinamakan ujian. Namun, perkembangan dalam bidang penilaian menunjukkan banyak cara kita boleh menilai pengajaran pensyarah. Antara pelbagai jenis penilaian yang sering dilakukan di universiti adalah penilaian terhadap disertasi, projek, kajian kes, portfolio, bengkel, seminar, oral pelajar. Bukti empirikal dikumpul secara sistematik berasaskan maklumat sahih, tekal, telus dan boleh dipertahankan. Tanpa bukti empirikal, pertimbangan terhadap pencapaian objektif pengajaran dan pembelajaran mungkin dibuat berasaskan pendapat iaitu pertimbangan nilai bersifat subjektif, pincang dan rapuh
Menurut Stufflebeam (1971), penilaian pula adalah proses mengenalpasti, memperoleh dan menyediakan maklumat berguna bagi keputusan mempertimbangkan pilihan-pilihan yang ada pada kita. Penilaian menentukan jurang perbezaan antara “apa yang dihasilkan” dengan “apa yang dihasratkan” dari sesuatu program pendidikan. Penilaian merupakan pertimbangan profesional iaitu proses yang membolehkan seseorang membuat keputusan. Seterusnya, menurut D. Stufflebeam dalam bukunya ”Education Evaluation and Decision Making” menyatakan bahawa, penilaian ditakrifkan seabgai proses menentukan, mendapatkan dan memberikan maklumat yang berguna untuk membuat pertimbangan mengenai tindakan selanjutnya
Dalam konteks pendidikan, apa yang hendak dinilai atau diuji ialah perubahan perlakuan tersebut dalam sesuatu jangka yang tertentu dan berasaskan kriteria atau rujukan tertentu pula (Raminah Haji Sabran). Sebagai contoh, dalam pengajaran bahasa, perubahan perlakuan dikatakan berlakunya sekiranya selepas beberapa bulan pengajaran dijalankan, murid-murid yang sebelumnya, tidak mengenal huruf, telah boleh mengenal pasti huruf-huruf yang terdapat dalam sistem tulisansesuatu bahasa itu dan membunyikannya dengan lebih baik. Sekiranya, hasil daripada penilaian yang dibuat menunjukkan, murid-murid masih tidak dapat menguasai kemahiran bahasa yang telah disampaikan, guru dapat memikirkan strategi pengajaran dan pembelajaran yang baru untuk membantu murid meningkatkan pencapaian mereka. Terdapat pelbagai jenis penilaian yang boleh diaplikasikan oleh guru. Contohnya, penilaian formatif, penilaian sumatif dan sebagainya. Secara ringkasnya penilaian adalah proses mentafsir atau memberi nilai yang bercorak kualitatif tentang sesuatu kemahiran berbahasa berdasarkan jumlah markat pencapaian hasil daripada pengukuran yang telah dilakukan secara kuantitatif.
Kuantifikasi dan Kualifikasi Dalam Penilaian
Menurut Gronlund (1982), aspek penilaian dan pengujian dalam pengajaran adalah sama pentingnya dengan proses pengajaran itu sendiri. Matlamat utamanya, ialah untuk mempertingkatkan atau memperbaiki pembelajaran tersebut. Hasil daripada penilaian dan pengujian dapat membantu guru membuat keputusan berhubung dengan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.
Penilaian dan pengujian yang sistematik dapat membantu guru mengambil keputusan yang tepat dan berkesan dan secara langsung dapat meningkatkan kecekapan berbahasa dalam kalangan murid.Penilaian pendidikan membabitkan dua unsur utama iaitu kuantifikasi dan kualifikasi. Kuantifikasi menggunakan ujian bagi mengukur kewujudan bukti empirikal penguasaan pelajar dalam sesuatu kursus yang diajar. Kualifikasi menggunakan pertimbangan nilai terhadap bukti empirikal penguasaan pelajar bagi membuat keputusan sama ada objektif pengajaran dan pembelajaran dicapai atau tidak.
PENTAKSIRAN
Pentaksiran ialah satu proses mendapatkan maklumat dan seterusnya membuat penghakiman tentang produk sesuatu proses pendidikan. Terdapat beberapa aspek untuk menjelaskan konsep pentaksiran iaitu proses, maklumat, penghakiman dan produk. Proses bermaksud langkah ataupun tindakan serta operasi yang digunakan untuk mendapatkan hasil yang dikehendaki. Manakala, maklumat pula ialah bukti tentang prestasi pelajar dalam sesuatu perkara yang ditaksir. Seterusnya, aspek penghakiman pula merupakan proses pertimbangan tentang pencapaian pendidikan pelajar. Produk yang melibatkan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang pelajar peroleh setelah melalui proses pendidikan. Oleh sebab itu, pentaksiran merupakan satu episod dalam proses pembelajaran yang merangkumi aktiviti mengumpul, merekod, memberi skor menginterpretasi, menghurai, maklumat tentang pembelajaran seorang pelajar bagi sesuatu tujuan.
PENGUJIAN
Pengujian merupakan satu prosedur yang sistematik untuk mengukur perubahan sebahagian daripada aspek tingkah laku seseorang individu terhadap pembelajarannya. Hal ini turut ditegaskan daripada pernyataan Milagros Ibe (1981),yang menegaskan bahawa:
“ujian adalah satu cara untuk mendapatkan contohan perlakuan yang diperlihatkan oleh murid dalam keadaan yang dikawal atau yang ditentukan. Maklumat yang diperolehi daripadanya akan dijadikan dasar untuk membuat penilaian atau pengadilan.
Seterusnya, menurut R.M Gagne dalam bukunya “The Conditions of Learning”, pengujian ialah satu cara sistematik untuk mengukur perubahan tingkah laku seseorang individu. Dalam sesebuah kelas, pengujian ini digunakan untuk mengukur perubahan tingkah laku yang berkaitan dengan aktiviti pembelajaran pelajar-pelajar Hal ini menunjukkan pengujian merupakan satu alat pengukuran yang bertujuan untuk mengetahui tahap pencapaian murid-murid dalam pelbagai aspek seperti aspek kognitif, psikomotor dan afektif.
Dalam pengujian bahasa, contoh perlakuan yang dimaksudkan itu merangkumi semua kemahiran mendengar, memahami, bertutur, membaca dan menulis. Hasil daripada ujian yang diberikan yang diberikan oleh pelajar, satu ukuran yang disebut sebagai markah akan diberikan kepada individu berkenaan. Pengujian menjelaskan keadaan sejauh mana prestasi murid yang ingin diuji.
Secara ringkas Pengujian ialah satu prosedur yang sistematik bagi mengukur perubahan tingkah laku. Tujuannya ialah menentukan pencapaian murid dalam sesuatu pembelajaran boleh dalam bentuk pemerhatian, ujian lisan mahupun bertulis.
Tujuan Pengujian Pengajaran dan Pembelajaran
Tujuan utama pengujian ialah untuk menghasilkan bukti yang boleh digunakan bagi membuat penilaian terhadap pengajaran dan pembelajaran di universiti. Penilaian di bilik kuliah dan makmal boleh membantu para pensyarah menambah baik pengajaran mereka dan pembelajaran pelajar. Selain matlamat diagnosis pengajaran dan pembelajaran, skor ujian digunakan sebagai asas bagi pengredan, pemilihan, penempatan, kaunseling dan bimbingan pelajar.
Diagnosis
Satu daripada tujuan pengujian ialah untuk mendiagnos kesukaran yang dihadapi dalam pengajaran dan pembelajaran. Diagnosis pengajaran diperlukan bagi mengesan sejauhmana pengajaran guru berkesan. Sekiranya berkesan, guru akan lebih yakin untuk meneruskan strategi dan kaedah pengajarannya. Sekiranya tidak berkesan, guru boleh menganalisis dan mengesan kelemahan yang ada supaya strategi dan kaedah pengajaran pensyarah boleh diubahsuai, diperbaiki dan dipertingkatkan.
Diagnosis terhadap pembelajaran pelajar pula diperlukan bagi mengesan sejauhmana pembelajaran berlaku. Sekiranya berkesan, kita boleh meneruskan strategi dan gaya pembelajaran sedia ada. Sekiranya tidak berkesan, kita perlu menganalisis dan mengenal pasti apakah kelemahan yang berlaku supaya strategi dan gaya pembelajaran pelajar boleh diubahsuai, diperbaiki dan dipertingkatkan.
Pengredan
Pengujian juga dilakukan bagi tujuan pengredan pelajar.guru boleh mengred pencapaian pelajar kepada kategori ‘lulus’ atau ‘gagal’, ‘lemah’, ‘sederhana’ atau ‘cemerlang’ atau gred ‘A’, ‘B’ ‘C’, ‘D’ atau ‘E’. Melalui pengredan pelajar, kita boleh memberitahu ibu bapa dan pihak berkaitan tentang prestasi akademik pelajar khususnya berbanding dengan prestasi pelajar lain.
Dengan adanya maklumat gred, guru dan ibu bapa boleh memainkan peranan membantu dan seterusnya melibatkan diri dalam proses pendidikan pelajar. Rangsangan luaran seperti penghargaan, nasihat, sokongan, bantuan dan kerjasama dari pihak-pihak yang terbabit dengan pendidikan pelajar khususnya ibu bapa sangat penting bagi meransang kemajuan dan pembangunan pelajar di universiti.
Pemilihan dan Penempatan
Seringkali juga skor dan keputusan ujian digunakan sebagai asas bagi pemilihan dan penempatan pelajar. Sebagai contoh pelajar yang cemerlang dalam sesuatu kursus sains mungkin dipilih untuk mewakili sekolah dalam pertandingan tertentu. Skor dan keputusan ujian juga digunakan bagi pemilihan pelajar untuk mengikuti kursus tumpuan bidang tertentu.
Kaunseling dan Bimbingan
Keputusan dan skor ujian boleh digunakan untuk membantu pelajar supaya berdaya maju. Berasaskan keputusan ujian, guru dan kaunselor boleh membantu pelajar mengenal pasti kelemahan dan kekuatan masing-masing supaya program dan tindakan intervensi dilakukan bagi memperbaiki keadaan pelajar. Keputusan ujian juga membantu para guru dan kaunselor untuk memberi khidmat bimbingan misalnya bagi memandu pelajar menceburi bidang kerjaya yang diminati apabila pelajar ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
PENGUKURAN
Pengukuran merujuk proses pemarkahan dan pemarkatan tindak balas atau jawapan murid yang bertujuan untuk mengukur sesuatu kemahiran bahasa secara kuantitatif. Proses ini memerlukan guru memeriksa (dengan membaca atau mendengar) tindak balas murid dan mengagihkan markah dalam bentuk angka. Markah diagihkan menurut skim pemarkahan yang telah disediakan terlebih dahulu oleh guru. Hal ini menunjukkan pengukuran merupakan salah satu aspek yang penting dalam penilaian seseorang guru bagi mengetahui tahap penguasaan murid dalam kemahiran yang telah dipelajari berdasrkan markah yang diperolehi.
KESIMPULAN
Berdasarkan keterangan-keterangan di atas, konsep pentaksiran, pengujian, pengukuran dan penilaian merupakan aspek yang penting dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu. Oleh sebab itu, guru hendaklah dapat menguasai kemahiran membuat pentaksiran, pengujian dan penilaian dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu agar dapat meningkatkan penguasaan kemahiran berbahasa murid.
No comments:
Post a Comment